Friday, April 6, 2007

Kejutan baru untuk Maslina

Masya Allah, sejak saya menggunakan bahasa Melayu Tinggi (BMT), ramai orang yang memberikan sokongan. Sebenarnya perkara ini amat mengejutkan saya. Tiba-tiba seperti menjadi seorang pejuang bahasa.

Hari ini saya mula menulis testimoni kepada rakan-rakan dengan BMT di 'Friendster'. Saya dapat mengagak, mereka pasti akan terkejut besar. Tiada siapa yang pernah memberi testimoni dan komen menggunakan bahasa yang betul dan ejaan yang betul. Jika boleh, saya berani bertaruh kebenaran kata-kata saya, tetapi saya tidak berani berbuat demikian, takut memakan diri.

Tentu ramai yang bertanya kenapa. Kalau mahu tahu, kerana Puan Ainon yang suruh. Bagi saya, ini adalah satu pilihan. Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan saya akan patuh pada ajaran dan arahan guru-guru saya. Tambahan pula saya ingin menjadi mentee Puan Ainon Mohd untuk menjadi seorang penulis. Kata orang, jangan derhaka pada ibu bapa dan guru.

Walaupun saya berasa segan, tetapi saya anggap ini satu perjuangan. Bak kata Puan Ainon dari sesuatu yang kurang cantik kepada sesuatu yang cantik. Buat masa ini saya belum mempraktikkan penggunaan bahasa ini di dalam SMS atau YM. Faktor masa dan kekangan ruang menjadikan ia agak mustahil. Tetapi memandangkan saya boleh menaip agak laju, mungkin saya akan menggunakan BMT di dalam YM juga.

Terasa ingin tahu pula apa yang bakal terjadi. Adakah ada orang yang sanggup menyertai saya memperjuangkan bahasa ibunda ini? Kita tengok dan lihat. Setakat ini sekurang-kurangnya orang yang datang melawat blog saya mungkin akan menggunakan BMT walaupun saya tidak pinta.

SESUATU YANG TIDAK DIRANCANG DAN DIDUGA

Apa yang berlaku semalam yang membawa perubahan saya hari ini, sebenarnya tidak penah saya duga. Tujuan asal saya hanyalah menjadi penulis secara sambilan (itupun tidak begitu serius). Sekadar ikut kawan. Kemudian, saya melawat website Universiti PTS, itupun melalui pautan dari blog lain. Bermula dengan satu pertanyaan kepada Puan Sifu, menggunakan nama pena 'swanprincess':



5 Apr 07, 03:18
swanprincess: Salam,Puan Sifu... terima kasih, sy mengabil manfaat dr blog ini. Sy berminat menulis novel cinta islami, bagaimana ya?

5 Apr 07, 05:20
SifuPTS: Sdr SWANPRINCESS, saya sudah jenguk blog sdr. Kalau mahu menjadi penulis, sdr mesti belajar menguasai ejaan yangb betul dan membaca banyak buku ang ditulis...

5 Apr 07, 05:20
SifuPTS: menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. BM sdr amat buruk!

5 Apr 07, 15:58
swanprincess: Maaf puan sifu, selama ini tidak menyedari hal ejaan ni,kerana sudah biasa dengan ejaan sms, juga kerana menulis di blog peribadi. Bila puan beritahu baru terfikir ada benarnya.

5 Apr 07, 16:11
SifuPTS: Sdr SWAN, jadilah penulis. Jadilah penulis yang tulisannya berpengaruh, yang difikir-fikirkan oleh pembaca karya2 saudara. Pelajari BMT.

5 Apr 07, 16:11
SifuPTS: Pisau yang tajam menghasilkan potongan yang lebih tinggi mutunya daripada pisau yang tumpul.

5 Apr 07, 16:12
SifuPTS: Demikianlah hal bahasa sebagai alat kerja. Bahasa yang buruk tidak menghasilkan karya yang baik!



Terkulat-kulat saya sewaktu membaca balasan Puan Sifu. Bulat mata saya, ditambah dengan terkejut dan segan. Manakan tidak, dileteri begitu banyak. Tetapi, bukankah baik mendengar nasihat.

Namun, saya tidak ingin digelar pejuang bahasa kerana saya rasa saya tidak layak dipanggil begitu. Anggaplah saya sebagai menghormati bahasa sahaja.

Apapun, saya niatkan apa yang saya lakukan ini untuk mengikut sunnah Nabi yang menggunakan bahasa Arab tinggi di dalam perbualan harian, dan seperti menggunakan bahasa Quran yang di dalam bahasa Arab Tinggi (fusha). Semoga beroleh pahala.

No comments: