Monday, April 16, 2007

Maslina mencari kerja...

Alhamdulillah, segala pujian, sejuta syukur pada Allah. Hari ini banyak berita gembira yang kuterima. Sepertinya seorang anak kecil yang mendapat sesuatu hadiah dan gula-gula. Alangkah gembiranya.

Sebagai tanda syukur saya selalu menceritakan kebaikan. Jika sahabatku menghadiahi atau menolongku, akan kuceritakan agar orang tahu betapa baiknya dia. Demikian juga jika kurniaan Tuhan. Agar orang tahu begitu Maha Pemurah, Maha penyayangnya Allah yang bisa memberikan sesuatu tanpa ada sesiapa yang dapat menghalang.

Pagi tadi, sedang saya membuat kerja-kerja di komputer, saya menerima panggilan,

"Mas, akak datang esok, hendak minta tandatangan borang untuk sijil Takaful ini", kata Kak Hawa di hujung talian.

"Tandatangan apa ini? Saya dah lulus ke ujian Takaful itu?" saya bertanya meminta kepastian.

"Ya, kamu sudah lulus, 3 orang. Seorang sahaja yang tidak lulus."

"Alhamdulillah," saya rasa sungguh bersyukur kerana sebenarnya saya tidak habis baca buku panduan Takaful kerana sibuk dengan peperiksaan akhir. Ujian pada pukul 10.30am, saya baru mula membaca selepas subuh hari yang sama. Dan sudah tentulah tidak sempat!

Sebelum masuk, masih lagi membaca buku, tidak habis-habis berdoa agar dapat menjawab dengan baik. Di dalam dewan ujian, saya yang terakhir keluar kerana memerah otak menggunakan logik,

"Mungkinkah yang ini jawapannya? Tak mungkin.. A atau B, ataukah C?" Padam itu, padam ini.

Alhamdulillah, mungkin rezeki saya, dapat lulus dan melayakkan saya dapat lesen sebagai agen Takaful.

Selepas Zohor saya menuju ke kuliyyah kejuruteraan untuk melihat samaada jadual pembentangan projek sudah keluar atau belum. Belum lagi.

Tiba-tiba teringat tentang Program Pentauliahan Profesional (3P) anjuran kuliyyah kejuruteraan yang ditawarkan oleh kementrian. Ini adalah julung kalinya ditawarkan kepada UIA. Saya bersyukur kerana lahir pada tahun 1983 dan masih berada di UIA tahun ini. Ini kerana program ini sebenarnya berharga RM4000 - RM6000. Tetapi ditawarkan percuma untuk pelajar UIA pada tahun ini. Kursus pengaturcaraan MCSA (Microsoft Certified Service Administration) yang saya ambil jumlahnya RM6600 termasuk yuran peperiksaan, dapat percuma. Alhamdulillah. Saya harap dapat lulus, berusaha bersungguh-sungguh tentunya. Terdapat juga kursus yang lain yang ditawarkan seperti MCAD, CCNA, DSE).

Nama saya tertera untuk mengambil kursus, dan yang lebih menggembirakan, saya dapat surat oleh Naib Dekan kepada prinsipal kolej untuk tinggal di kolej walaupun ketika itu sudah habis pengajian. Alhamdulillah, terasa Allah memudahkan segala urusan. Sebelum ini saya berfikir, bagaimana mahu mencari rumah sewa, dan hal pengangkutan pula. Harap permohonan diluluskan. Amin!

Dalam minggu ini saya akan menghabiskan kerja-kerja terakhir untuk projek tahun akhir, pembentangan, poster, dan hantar buku kulit keras.

InsyaAllah, jika ada rezeki dan tiada aral melintang, saya akan mengikuti kelas penulisan PTS pada bulan hadapan. Di samping itu, mungkin memulakan aktiviti Takaful di hujung minggu ketika tiada kelas MCSA, dan meneruskan aktiviti penulisan! Sambil menyelam minum air.

Alhamdulillah, selain belajar tentang kejuruteraan, saya dapat banyak perkara seperti menguruskan masa kerana saya juga terlibat dengan aktiviti kokurikulum dan persatuan sepanjang pengajian. Setelah graduasi, selain pentauliahan profesional, saya ada pakej untuk bekerja yang pelbagai. Sekarang ini, saya telah memohon banyak kerja tetapi belum ada jawapan. Mungkin jika ada sesiapa yang rasa saya sesuai dan perlukan orang (kerja), kalau ada kerja kosong, beritahulah :)

Kelulusan saya:

- Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatroniks (Mekatronik adalah gabungan mekanikal, elektrikal, komputer (pengaturcaraan) dalam satu bidang, juga dikaitkan dengan Robotik)

- Minor dalam Pengurusan Perniagaan (Bussiness Administration)
+Subjek berkaitan:-Management,Economics,Marketing,Decision Science,Organizational Behavior,Human Resource Management,Operations Management.

- Kebolehan Komputer:
+ MS Words, Excel, Powerpoint
+ C, C++, Java
+ Catia V6
+ Matlab

- Sangat aktif berpersatuan.
- Mempunyai kepimpinan, kebolehan penyelesaian masalah, merancang
- Punya motivasi yang tinggi.
- Juga berminat dalam penulisan dan psikologi.

2 comments:

taqeyyabella said...

Emm... Bestnye jadi seorang yang bernama Siti Noor Maslina, mana taknya setiap tahun terima anugerah dekan... T A H N I A H ! ! !

Bestnya ada kursus penulisan dari PTS pulak tu... jelesnya, nak join gak.. huhuhu... apekan daya jauh na..

Teruskan perjuangan saudari Maslina, semoga dapat terus kembangkan potensi untuk dimanfaatkan kepada seluruh alam, menjadi khalifatullah di muka bumi ini.

Salam ukhuwwah fillah... ;)

Siti Noor Maslina said...

Mana ada, biasa-biasa sahaja. Kursus tu semua orang boleh pergi...

InsyaAllah... saudara juga.

Salam ukhwah fillah :)