Friday, April 20, 2007

Merdeka!

Hari ini bukanlah hari kemerdekaan Malaysia kerana bukan 31 Ogos. Tetapi hari ini saya rasa merdeka. Habis sudah hari pameran poster FYP. Pada hari ini sambil menunggu pemeriksa datang bertanya dan memberi markah, kami mengambil gambar dan autograf. Maklumlah selepas ini masing-masing akan membawa diri mengikut hala tuju sendiri. Ada yang bekerja, ada yang sambung master. Sedangkan saya sendiri belum benar-benar pasti lagi.

Tiba waktu tengahari, Tazkera mengajak saya keluar makan beserta Samira dan Emelda. Kami makan di cawangan McDonald's di stesen minyak Shell berhampiran. Keluar bersama Tazkera memang selalunya seronok. Kami sering berkelana bersama, dan yang paling diingati adalah semasa di Jepun dan Langkawi. Hingga satu ketika saya katakan padanya,

"Semoga suatu hari nanti kita dapat mengelilingi dunia bersama-sama."

Sememangnya saya sentiasa ada keinginan untuk melancong ke luar negara, tapi saya bukanlah orang kaya harta yang mampu berbuat demikian. Melawat ke Jepun dahulu pun kerana sebahagian besarnya ditaja oleh kuliyyah. Itu adalah pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang.

Tazkera, gadis yang unik berasal dari Bangladesh. Selalu berfantasi dan mereka-reka cerita yang tidak masuk akal. Mungkin daripada kegemarannya membaca cerita fantasi atau sikapnyalah yang membuatnya gemar membaca cerita begitu. Kadang-kala saya yang agak lurus ini benar-benar percaya. Kemudian membuat kesimpulan segalanya adalah rekaan semata-mata. Haha. Yang seronoknya dia selalu bercuti ke luar negara dan mengambil gambar setiap yang dijumpai, atau yang dimakannya.

Ketika sedang makan bersama mereka, saya mendapat sms dari rakan-rakan mekatronik mengajak saya makan beramai-ramai bersama. Saya kira semua ada, kecuali saya. Saya tidak mempunyai kredit dan tidak dapat membalas. Apa agaknya yang mereka fikirkan? Bukan niat saya untuk tidak menyertai tetapi saya sudah berada di luar UIA sekarang ini. Lagipun saya sudah berjanji dengan Tazkera dahulu, adakah patut menolak ajakan rakan seorang kerana ajakan dari kuantiti yang ramai?
"First come first served"

Maaf ya kalian...

Saya sungguh bersyukur kerana dapat membentangkan projek saya semalam. Sebenarnya saya sangat risau tentang projek ini hingga makan tidak kenyang, mandi pun tidak basah. Selama setahn menanggung tekanan dari pelbagai penjuru. Dari diri sendiri, supervisor, rakan-rakan yang turut sama menyiapkan projek. Hingga hari pembentangan tiba, muka saya cuak dan muram. Ketika supervisor masuk ke bilik pembentangan dia terus bertanya,

"Mengapa saudari nampak sedih? Apa yang dirisaukan, senyumlah," kata Prof. Dr. Momoh hingga Dr. Wahyudi menoleh ke belakang.

Namun muka saya tetap bermuram, sampai terasa ingin menarik diri dan tidak membuat pembentangan. Malam sebelumnya saya bangun seawal 4 pagi bersolat hajat dan berdoa lantaran risau yang keterlaluan. Beberapa minit sebelum giliran saya tiba barulah saya mendapat kekuatan untuk bercakap di hadapan. Alhamdulillah saya dapat lakukannya, namun saya tidak tahu apa keputusannya dan pendapat pemeriksa tentang projek saya. Takut juga.

Doakan saya,ya.

2 comments:

taqeyyabella said...

ok saya doakan semoga dapat keputusan yang baik dari pembentangan itu. Amin

Cuma nak tanya macammana agaknya mandi tak basah tu :p

Siti Noor Maslina said...

Terima kasih... Itu cuma kiasanlah :p
Isk isk...