Wednesday, April 11, 2007

The Tales of Two Sisters

"Ngee.. Ngee..," bunyi bising berdengung mengganggu pembesar suara yang sedang mengalunkan irama nasyid yang bertemakan perjuangan. Diikuti dengan irama telefon bimbit.

"Kak Mas, kita baru balik dari rumah Mak angkat di Felcra. Sekarang ini kita sedang mengemas barang untuk dibawa pulang. Petang nanti sebelum balik kita datang ke bilik akak, ya." ujar Hidayah setelah Maslina menjawab panggilan.

"Peperiksaan akhir Hidayah sudah habiskah? Banyakkah barang yang perlu dikemas? Mahu akak datang membantu? Setelah akak siapkan kerja nanti akak datang, ya." kata Maslina.

Maslina meletakkan telefon bimbitnya dan meneruskan kerja-kerjanya sebelum berjalan ke kolej Hidayah di Mahallah Halimatus Saadiah.

"Hidayah, Kak Mas ada berita terbaru," kata Maslina setibanya di bilik Hidayah.

"Tentang apa ni? Tentang si diakah?" tanya Hidayah mengusik.

"Baru-baru ini akak melayari laman web Universiti PTS. Akak rasa ingin menulis novel seperti novel ini," kata Maslina sambil menghulurkan novel "Mencari Dewasa" yang dipinjamnya dari Hidayah tempoh hari. Novel itu dihadiahkan sendiri oleh penulisnya, Z. A. Imad kepada Hidayah sebagai tanda terima kasih.

"Wah, seronoknya! Kita pun ingin menyertai boleh atau tidak?" Hidayah begitu berminat mendengarkan kata-kata Maslina.

"Kelab Pemikir Muda* akan mengadakan Kem Intelektual Muda, Kak Mas ikutlah sekali. Penasihat kelab pula kita sudah ditukar, En. Farid Shahran." Hidayah memberitahu perkembangan kelab mereka kepada Maslina.

(*Kelab Pemikir Muda dikenali sebagai 'Intellectual Youth Club' atau IYC di UIA)

Mereka terus berbincang tentang Kelab, buku-buku, dan rancangan menjadi penulis sambil sama-sama mengemas barang Hidayah.

"Jika Kak Mas menulis nanti, Kak Mas ingin ceritakan tentang Kelab Pemikir Muda, serta abang-abang, kakak-kakak, adik-adik, saudara Firdaus Hamsin, Hilmi Ramli, Khairul Anwar Shazali, saudari Khadijah, Khalidah, Hidayah, Khadijah. Seperti saudara Imad menulis tentang Kelab Penyayang, dan meletakkan Hidayah sebagai salah seorang watak." Maslina berangan-angan sewaktu berbincang dengan Hidayah.

"Kak Mas ingin menulis novel Islami seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, tetapi tidaklah diakhiri dengan tragis. Mengapa ya semua novel karangan HAMKA,termasuk Di Bawah Lindungan Kaabah juga berakhir dengan tragedi? Ayat-ayat Cinta karangan Habiburrahman el-Shirazy juga begitu. Zainuddin, Hayati, Zainab, Maria, semuanya meninggal di akhir cerita." sambung Maslina.

"Kita tidak bersetujulah, Kak Mas. Sepatutnya jika cinta disandarkan kepada Allah, tentu mereka (watak-watak) dapat menerima takdir dan tidak akan sampai mati kerana putus harap."

"Tetapi, adikku Hidayah. Bukankah Pak HAMKA itu seorang ulamak, tentulah ada sebabnya beliau menulis sebegitu. Cuba Hidayah bayangkan Hidayah sebagai watak, tentu Hidayah dapat memahami mengapa sampai begitu sekali kedukaan akibat cinta yang terhalang,"

"Mungkin juga Pak HAMKA membuat cerita itu, tujuan utamanya untuk memberikan kesedaran kepada mereka yang mementingkan darjat keturunan dan menghalang percintaan mereka, jadi membuatkan cerita itu begitu sedih sekali agar menusuk ke dalam hati pembaca. Ada orang mengatakan Pak HAMKA berjiwa lembut, dan seolah-olah cerita itu adalah ceritanya sendiri." Hidayah mengeluarkan pendapat.

"Ya, mungkin bukanlah bermaksud untuk mengajak manusia mencintai manusia melebihi cinta kepada Allah, tetapi untuk mengecam golongan-golongan yang mementingkan darjat-keturunan. Bukankah Pak HAMKA itu dari keturunan Minang?" kata Maslina menyokong pendapat Hidayah.

"Juga untuk memberi pengajaran dengan kisah Zainuddin yang menolak Hayati, cinta hatinya tatkala Hayati menyerahkan diri, sanggup walaupun menjadi babu kepada Zainuddin." ujar Hidayah kembali.

"Ya, bukankah Hayati itu kehidupannya, kerana dendam dan amarah, dia sanggup menghantar Hayati pulang ke kampung asalnya. Sampai belikan tiket kapalnya sekali. Hayati mengatakan ketika diserahkan piala penuh rasa cinta, Zainuddin menolak hingga tumpah semuanya... Akhirnya kapal Van Der Wijk itu tenggelam. Alangkah sedihnya babak itu, yang menyebabkan kita berdua menangis ketika membaca, walaupun berulang-ulang kali membacanya." kata Maslina.

"Sebenarnya kekesalan yang melampau itulah yang buat Zainuddin jatuh sakit sampai meragut nyawa Zainuddin. Ketika kehilangan Hayati pertama kali, Zainuddin masih mampu lagi hidup, malah berkarya hingga menjadi terkenal sekali." Hidayah mengeluarkan ideanya lagi.

"Ya, demikian jugalah dengan Maria dalam novel 'Ayat-ayat Cinta'. Kerana kesal tidak memberitahu Fahri isi hatinya, hingga Fahri berkahwin dengan Aisyah yang baru dikenalinya melalui perantaraan bait muslim, sedangkan Maria sudah berjiran dengan Fahri begitu lama dan selama itulah memendam perasaan terhadap Fahri." Maslina menyambung.

"Karya yang penuh pengajaran, budaya dan adab sopan. Orang dulu kalau bercinta tiada adengan keluar bersama, melainkan dengan surat sahaja."

Sedar tak sedar mereka telah mengadakan sesi 'bedah buku' Pak HAMKA dan Habiburrahman. Kemudiannya mereka terus berbincang tentang Kelab Pemikir Muda, yang selalu menjadi perbincangan mereka setiap kali bertemu. Bagaimana adik-adik nanti, dan hala tuju Kelab Pemikir Muda setelah mereka meninggalkan UIA dan menyerahkan teraju kepada yang lebih muda.

- cerpen oleh Siti Noor Maslina. 11 April 2007.

No comments: