Tuesday, May 22, 2007

Cerita Opah

Saya suka berkongsi cerita, idea bercerita kisah teladan untuk pengajaran saya contohi dari arwah nenek saya, Hajah Ramlah yang selalu bercerita kepada kami, cucu-cucunya. Masih tersimpan dalam memoriku, kisah sewaktu saya masih belum bersekolah. Suatu hari di kampung ketika kami beramai-ramai berkumpul, seorang sepupuku memanggil,

"Mari semua, opah panggil semua cucu-cucu Mukhlas!"
(Mukhlas adalah nama atuk kami)

Lalu duduklah kami adik-beradik di lantai, manakala opah duduk di atas kerusi dan memulakan cerita,

"Pada suatu hari, nabi Muhammad berkata kepada seorang wanita tua,

"Tiada orang tua di syurga,"

"Maka menangislah wanita tua itu," cerita opah.

"Mengapa orang tua tidak boleh masuk syurga, opah?" tanya seorang sepupuku yang agak besar.

"Kerana sebelum masuk ke syurga, semua orang, tua atau muda akan mandi di sebuah kolam, bila keluar, semuanya bertukar menjadi muda belia," opah bercerita sesuai dengan kefahaman kami budak-budak yang masih kecil.

Lalu opah bercerita tentang syurga kepada kami yang tidak tahu tentang syurga,

"Di syurga sangat cantik, lebih cantik daripada taman bunga,"

"Syurga diperbuat daripada emas dan permata yang indah-indah,"

"Apa sahaja yang kita minta, terus sahaja dapat,"

"Kalau mahu minum sirap, mengalirlah sungai sirap, kita boleh minum sepuas-puasnya."

"Sungai Milo ada atau tidak, opah?" tanyaku yang suka minum Milo.

"Sudah tentu, ada banyak coklat, jajan, gula-gula juga, minta apa sahaja, semua ada," sambung opah.

"Seronoknya, bagaimana mahu ke sana, opah?" tanya Qawi pula.

"Kalau mahu masuk syurga, kita kena berbuat baik,selalu menolong orang, bersedekah, dengar cakap ibu, ayah, orang tua, tidak tinggal sembahyang dan baca Quran," Opah menerangkan.

Kemudian opah lagi bercerita tentang nabi-nabi, kisah rakyat seperti pak pandir, sang kancil dsb apabila ada masa terluang.

Ketika arwah opah meninggal dunia, semua orang menangis dan bercerita tentang kebaikan opah yang pemurah dan penyabar. Saya tidak pernah mendengar opah meninggikan suara walaupun sekali. Opah juga tidak jemu menasihati kami sepanjang masa. Satu opah sifat yang paling terkenal ialah pemurah. Sewaktu di kampung, jika ada seorang cucu meminta wang untuk membeli jajan (sampai sekarang saya tidak tahu siapa), tersebarlah panggilan opah,

"Opah panggil semua cucu-cucu,"

Lalu pergilah semua sepupu-sepupu saya berbondong-bondong (keluarga kami memang berkuantiti besar) dan beratur. Lalu arwah opah akan memberikan dua kupang seorang untuk membeli jajan. Hari itu semua orang makan jajan dengan senyuman tanpa bergaduh. Demikianlah sifat pemurah dan adilnya opah, yang walaupun banyak berniaga dan beroleh untung, ketika hujung hayatnya tidak memiliki himpunan barang kemas atau harta yang banyak kerana banyaknya bersedekah. Opah berniaga kuih-muih dan pernah memiliki sebuah kilang kecil karipap mini. Resepi itu dicipta sendiri oleh arwah opah, kerana belum pernah terdapat karipap mini (melainkan karipap biasa) sebelum itu. Arwah opah juga mencipta sendiri resepi lemang segera tanpa perlu menggunakan buluh. Kini, telah berkembang industri kecil di Tapah Road, kampung Haji Hassan membuat karipap mini yang dipelopori oleh arwah Opah. Malah, ada anak-anak beliau (juga emak saudara saya) menceburkan diri dalam perniagaan makanan.

Sedekahkan al-Fatihah kepada arwah opah, Hajah Ramlah binti Haji Hassan.

5 comments:

ATHIAH ILYANA said...

nicee!!

Achik_Sufi said...

al-fatihah...

strawberry x belajar ilmu buat karipap minike...? achik dah lame x sentuh karipap nie...

umniyah said...

mas..nama opah kite serupe la..

Maslina aka Strawberry said...

[achik] masa kecik-kecik dulu tolong masukkan inti dalam tepung je, tak sempat belajar, huhu. :( Nanti balik kampung nak tanya kat makcik la.

[umniyah] ye ke? hu, nasib baik nama kita tak sama :)

Abang Long said...

Teringat setiap kali keretapi berhenti di Stesen Tapah Road. Naik seorang pakcik menjual karipap .... memang besar, tapi isinya ceciput ... tapi abang long beli juga, sebab rasanya memang sedap .... panas lagi ...