Tuesday, May 29, 2007

Halawatul Iman

Kelazatan iman tidak boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmat di sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya. Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita buat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Muttafaq alaih)

Anas berkata, “Aku melayani Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah.

Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.

Manisnya buah ketika buah sudah matang, dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak. Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.

Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.

Mengikut Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:

l Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.

l Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.

l Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.

l Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.

l Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang salih.

l Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.

Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki siapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman. Cinta Allah dan Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi kecintaan terhadap diri sendiri, orang tua, anak dan seluruh manusia.

Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.” Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”

Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”

Antara cara mencintai Nabi SAW:

l Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran.

l Bercita-cita untuk bertemu dengan Baginda dan khuatir jika tidak dapat bertemunya.

l Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya. Orang yang mencintai seseorang, maka akan mentaatinya walaupun nyawa jadi galang gantinya.

l Menolong sunnahnya, mengamalkan, menyebarkan, membela dan memperjuangkannya.

l Banyak berselawat dan bersalam kepada Rasulullah SAW.

l Berakhlak dengan akhlak Baginda dan beradab dengan adabnya.

l Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka.

l Mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda serta mengetahui keadaan dan berita berkaitan Baginda.

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh.

Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal salih.

Saling mencintai kerana Allah mempunyai hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya: “Dua orang yang saling menyintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.”

* Daripada forwarded e-mail

4 comments:

taqeyyabella said...

Baru lepas xam, tenang pulak rasa hati baca tulisan mas kali nie.

Tetibe terpikir, halawatul iman yang dirasakan oleh sumayyah, mus'ab ibn umair, bilal dan para sahabat ridwanallau'alaihim tu agaknya macammane ye. Nikmat iman yang mereke rasakan itu membuatkan kesengsaraan tu tiada makna.

Lain pulak dengan keadaan kita sekarang yang lena dengan keselesaan yang kononnya dalam keadaan iman namun hakikatnya... risau pulak jadinya.. ish..

eh doa anas tu yang bunyinye macam ni ker "Allahumma aksir mali wa waladi wa wassi' li dari wa barikli fima a'toitani wa atil hayati wa ahsin 'amali 'ala to'atika wa'gfirli" ?

Abang Long said...

Salam hormat buat adik. Apakhabar ?

Sudah memulakan operasi menulis ?

Tenang rasanya membaca entri ini. Tapi kalau disertakan dialog, lebih menarik rasanya... dialog lagiiiiii ....hehehehe

Achik_Sufi said...

halawatul iman...
susah nak dapat nie...kalau makanan yang bernama halawiyat banyak kat c nie...

doakan achik najah imtihan erk...

Maslina aka Strawberry said...

[Taqeyyabella] Alangkah bahagianya jika mendapat kemanisan iman ini, terasa tenang dan nikmat melakukan ibadah kepada Allah. Kata Ali (kwh) Seorang pencinta akan menjadi hamba kepada orang yang dicintai. Orang yang mencintai merasa sengsara manakala yang dicintai akan dimanja. Perjalanan menuju cinta Allah dan halawatul iman menuntut kita berhadapan dengan pelbagai dugaan, namun kita tetap teguh beriman kepada Allah. Malah, dugaan itu, yang jika dihadapi dengan sabar dan taqwa membawa kepada keteguhan peribadi.

[Abang Long] Adalah juga, harap-harap dapat terus istiqamah dan tidak patah semangat.

[Achik Sufi] Semoga najah imtihan.