Sunday, May 6, 2007

Kisah Maslina di UIA

Setelah hampir 2 minggu beristirehat, saya kembali kepada hari-hari yang sibuk. Setelah menghabiskan kebanyakan umur dengan belajar, masih banyak pula yang tidak diketahui. Sepanjang 2 bulan ini, saya sibuk pula dengan bengkel, kursus dan kelas untuk menambah skil dan pengetahuan. Sebenarnya terlalu banyak yang saya ingin belajar, lakukan dan impikan dalam hidup. Mungkin kerana darah muda saya dan sikap ingin tahu dan serta minat yang banyak.

Kali ini saya ingin bercerita tentang saya di UIA.
Sejak menjejakkan kaki ke kampus utama UIA, hidup saya sentiasa sibuk. Dengan tuntutan belajar yang padat, di samping minat saya menyertai persatuan, majlis ilmu, dan friendster (hehe), masa tidak pernah cukup. Lalu di universiti saya jarang keluar (outing), kecuali jika benar-benar penting, dan tidak menonton TV kecuali jika pulang ke rumah. Mungkin sebab itulah jika pulang ke Kuantan, saya lebih suka berehat di rumah, melepas geram.

Satu perubahan yang paling ketara ialah saya mula menjadi pelajar yang berdikari. Ia bukanlah sesuatu yang saya minta, kerana saya tidak pernah berengang dengan kawan baik sepanjang belajar di sekolah. Pada masa itu, saya rasakan tidak dapat berdiri tanpa kawan yang menemani. Pada mulanya saya masih bagai belangkas dengan kawan-kawan, tetapi lama-kelamaan saya tidak dapat lagi bergantung dengan orang lain, dan tidak dapat memenuhi semua permintaan orang. Pertama, kerana sahabat-sahabat baik saya tidak sama jurusan dan bidang, jadi sudah tidak dapat ke kelas bersama-sama. Sejak masuk ke UIA, saya punya impian yang tinggi, iaitu mendapat anugerah dekan setiap semester dan mendapat ijazah kelas pertama. Lalu kebanyakan masa saya adalah bersama buku-buku, pen, kalkulator, dsb. Lalu saya tidak dapat mengikut orang, dan orangpun tidak dapat mengikut jadual saya. Alhamdulillah CGPA saya sekarang melebihi 3.5 tetapi sedikit sahaja lagi dapat first class (mungkin sepatutnya saya target 4 flat, barulah dapat hampir 4 flat, hehe). Namun saya berpuas hati kerana saya sudah mencuba sedaya upaya di dalam bidang kejuruteraan yang amat sukar dan mencabar bagi saya. Lagipun saya bukanlah genius yang mampu skor A tanpa berusaha.

Pada mulanya saya begitu kekok dan sedih kerana terpaksa sendiri setiap hari, bayangkan seorang gadis makan di kafe sendirian. Tetapi lama kelamaan saya sudah biasa, hingga sekarang ini saya rasa lebih suka buat sendiri walaupun ada orang mengajak, haha. Sudah terbalik pula. Tapi saya perhatikan di universiti memang ramai yang berjalan, makan sendiri. Kawan-kawan saya yang sama-sama medapat anugerah dekan boleh saya katakan semuanya 'lone ranger'. Ada segelintir yang dulunya dean's list tidak dapat kekal kerana selalu mengikut kawan-kawan yang banyak aktiviti (ini adalah pandangan secara am, tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, harap maaf). Sebenarnya, bergerak bersama memakan masa yang lebih. Masa menunggu terutamanya. Namun setiap orang ada perkara penting yang harus diselesaikan, yang tidak sama dengan orang lain kecualilah mereka semua sama kelas, sama subjek, sama persatuan, sama waktu makan, sama waktu tidur, sama kolej, sama semuanya.
Saya ingat lagi sewaktu belajar di MRSM Pengkalan Chepa, saya ada dua orang kawan yang selalu bersama, pada suatu hari seorang daripada kawan saya berkata,

"Mas, Ana... mulai hari ini saya tidak dapat selalu bersama kalian kerana mahu menumpukan pada pelajaran."

Kemudian, kawan saya ini sentiasa mendapat pointer yang tinggi, >3.7 dan mendapat semua A1 dalam SPM.

Namun begitu, bila kita mementingkan apa yang penting. Kita sebenarnya membuat keputusan yang bijak. Kerana kita sebenarnya sentiasa ada masa untuk membuat perkara lain. Tetapi jika kita memenuhkan masa dengan perkara tidak penting, kita tidak ada masa untuk membuat perkara yang penting. Hubungan dengan kawan baik tetap baik, walaupun kami jumpa hanya beberapa kali sebulan, tetapi setiap kali berjumpa kami manfaatkan sepenuhnya, dan menjadi lebih istimewa. Rasanya saya tidak hilang apa-apa walaupun terpaksa berkorban banyak perkara yang menyenangkan.

Walau apapun semuanya adalah kurniaan Tuhan, semuanya adalah usaha, yang memberi dan menentukan adalah Allah. Cuma aturan dunia tiada berubah, setiap orang akan mendapat apa yang diusahakannya kerana Allah Maha Adil. Berserah sepenuhnya kepada Allah.

Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah. Segala-galanya kerana Allah semata-mata. Amin!

Saya suka bercerita untuk mengaitkan sesuatu pengajaran. Sila baca kisah ini (Kisah balang, bola dan kopi)

No comments: