Tuesday, June 12, 2007

Jangan Marah, Jangan Marah, Jangan Marah!

Semalam saya dan kawan baik saya, Ana, telah berlaku sedikit salah faham dengan seorang penjual. Saya yang menemani Ana pun telah turut sama 'berbahas' dengannya untuk membela kawan saya, walaupun tidaklah sehingga bergaduh. Saya berasa lebih marah jika ia terjadi kepada kawan baik saya berbanding jika saya sendiri. Walaupun perkara itu telah selesai, ia mempengaruhi mood saya di dalam kelas pada pagi itu. Pagi itu pula, komputer saya membuat kerenah, tidak dapat disambungkan ke server dan sistem AD pun tidak dapat dikesan oleh komputer. Trainer, En. Inderjit berkata,

"Komputer ini merajuk agaknya, kamu ada marah diakah?"

Saya juga berkata kepada rakan sekelas saya di sebelah yang mengusik saya,

"Hari ini mood saya tidak baik. Jangan bercakap dengan saya atau saya akan meletup."

Beberapa ketika kemudian, saya berasa baik sedikit kerana trainer membuat lawak dan saya tersenyum. Namun, saya masih berasa tidak puas hati. Dalam hati saya berkata,

'Sudahlah selama ini saya menjadi pelanggan tetapnya. Apa salahnya kalau dia bermurah hati dan berlembut dalam melayan pelanggan. Barulah bisnes lebih maju. Tengoklah nanti saya tidak mahu membeli daripadanya lagi.'

Saya sedar, saya tidak patut marah begini. Fikiran sebegitu ada hasutan dari syaitan. Sepanjang hari itu saya berlawan dengan rasa marah saya. Saya sepatutnya mencontohi Nabi Muhammad yang tidak pernah marah dan berdendam, malah memblas dengan lembut walaupun kepada Uthbah yang memaki baginda dengan teruk. Tengahari itu saya pulang ke kolej dan berbaring sambil berfikir. Mungkin kerana terlalu geram, dan memikirkan beberapa perkara yang bercampur aduk hingga saya menangis sebentar. Seketika kemudian, saya berkata,

"Mungkin ada pengajaran dan hikmahnya. Mungkin juga saya ada melakukan kesalahan. Apapun yang terjadi, saya mesti sentiasa meningkatkan diri supaya mempunyai akhlak yang baik, dan memaafkan walaupun dalam keadaan marah. Sesungguhnya untuk bersabar bukanlah sesuatu yang mudah. Kata nabi, orang yang paling kuat adalah yang dapat mengawal marahnya."

"Ya Allah, jadikanlah saya orang yang bersabar dan bersyukur," doa saya berulang-ulang.

Alhamdulillah, hari ini saya sudah berjaya memaafkan dan menerima perkara itu dengan positif.

Ujian keempat MCSA hari ini berjaya saya habiskan dalam masa setengah jam sahaja dan Alhamdulillah, lulus. Kali ini saya berusaha lebih dan berharap akan terus lulus dalam ujian seterusnya. Biarlah perkara yang telah berlaku yang tidak mampu diubah, namun kita sentiasa mempunyai peluang untuk berusaha untuk hari esok.

No comments: