Monday, February 28, 2011

Permainan Tora

Pulang daripada kedai di bandar, ibu membelikan Suzana dan Fairuz makanan ringan 'Tora'. Suzana membuka kotak makanan itu dan menjumpai sekeping benda plastik yang berlapis-lapis. Puas Suzana memusing-musing benda plastik itu tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermain. Sedangkan sepatutnya ada mainan yang menarik seperti di iklan televisyen... "Tora datang lagi"

Manakala Fairuz dengan aksi menunjuk-nunjuk bermain dengan mainannya iaitu bola yang boleh terapung apabila hujung batang yang diikat bola plastik itu ditiup. Aksi itu berjaya menarik perhatian Suzana.
Lalu Fairuz berkata, "Jom tukar, along punya lagi best,"

Setelah hadiah bertukar tangan, tiba-tiba benda plastik yang nampak tidak menarik itu, apabila ditekan oleh Fairuz seperti gunting, depannya memanjang dan boleh mengepit barang yang jauh.

Serta-merta Suzana mencebik dan berkata, "Ala, nak tukar balik, tak adil,"
Fairuz menggoyang-goyangkan kepala, "Tak boleh, tak boleh,"

Maka berlakulah aksi kejar-mengejar dan menjerit-jerit, hingga datanglah ayah yang terganggu dengan bunyi yang hingar-bingar.

"Owh pantang tinggal sekejap nak gaduh sahaja, ayah rotan baru tahu"

Suzana sudah mula menangis, "wuy, wuy, wuy"

"Menangis je, diam, kalau tidak ayah kurung kat luar,"

Malangnya semakin Suzana cuba untuk diam, semakin kuat pula teriakan tangisnya kerana sayu dimarah.

Akhirnya mereka berdua di'kurung' di luar, untuk keberapa kalinya. Menurut ayahnya itu adalah 'hukuman' yang terbaik dan paling berhasil untuk dua beradik yang bagaikan anjing dengan kucing itu.

Bersambung....

No comments: